Fakulti Pendidikan Teknikal (FPTek) bermula dengan penubuhan awalnya sebagai Jabatan Pendidikan dan Kemanusiaan (JPK) semasa di bawah pentadbiran Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada tahun 1996. JPK telah distruktur semula pada tahun 2001 dan dipecahkan kepada Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional (JPTV) dan Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi semasa ITTHO dinaiktaraf menjadi Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn. Akhirnya pada 1 Mei 2004, JPTV telah diberikan mandat untuk menjadi sebuah fakulti yang dinamakan Fakulti Pendidikan Teknikal bagi menampung keperluan tenaga pendidik dalam bidang teknik dan vokasional.
Kewujudan Fakulti Pendidikan Teknikal adalah memberikan pendedahan kepada pelajar tentang pengetahuan teori dan praktis di bidang Teknikal dan Vokasional serta Kejuruteraan, sahsiah dan akhlak yang mulia juga dipupuk dalam menjamin tahap profesionalisme yang tinggi. Fakulti Pendidikan Teknikal juga menawarkan kursus-kursus pendidikan kepada fakulti-fakulti lain di UTHM untuk melahirkan tenaga pensyarah profesional di bidang teknikal kejuruteraan. Fakulti Pendidikan Teknikal mempunyai staf yang memiliki pelbagai latar belakang pengkhususan teknikal di samping ilmu pendidikan yang boleh menyumbangkan kepakaran mereka dalam kerja-kerja pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perundingan.
Pada tahun 2002, UNESCO-UNEVOC Bonn telah memberi kepercayaan kepada Fakulti Pendidikan Teknikal untuk berperanan sebagai UNESCO-UNEVOCAssociate Centre dan seterusnya pada tahun 2005 berperanan sebagai UNESCO-UNEVOC Centre, di Malaysia. Fakulti Pendidikan Teknikal juga mempunyai rangkaian kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan antarabangsa seperti Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH), Korea Research Institute for Vocational Education and Training (KRIVET), Colombo Plan Staff College for Technician Education Philipines (CPSC), The National Centre for Career and Technical Education USA (NCCTE), European Centre for the Development of Vocational Training (CEDEFOP) dan lain-lain dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan teknik dan vokasional untuk kepentingan bersama. |